Monday, 29 October 2018

Ibu bapa menjadi pembentuk akhlak dan penentu kecemerlangan anak-anak


Ibu bapa menjadi pembentuk akhlak dan penentu kecemerlangan anak-anak
Ibu bapa memainkan peranan yang besr dalam membentuk akhlak dan menentukan masa depan anak-anak dalam bidang. Ibu bapa telah memberikan semangat dan pimpinan sejak hari pertama kita menjejakkan kaki ke dunia ini. Mereka banyak berjasa terhadap kehidupan kita dengan menjaga kita bagai menatang minyak yang penuh. Mereka bersusah payah mencari rezeki setiap hari supaya mampu menampung kehidupan anak-anak. Pendidikan oleh kedua-dua ibu bapa dapat membantu anak-anak yang diibaratkan sebagai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya, sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa hadapannya. Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang besar untuk membentuk akhlak dan menentukan kecemerlangan anak-anak di kemudian hari.
Peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak anak-anak adalah dengan memberi didikan agama secukupnya. Antara cara yang ibu bapa boleh gunakan bagi memberikan pendidikan agama secukupnya kepada anak-anak adalah dengan mengajar Al-quran kepada anak-anak. Al-quran seharusnya menjadi panduan hidup anak-anak agar terlahirnya insan yang berakhlak. Selain itu, ibu bapa juga boleh menceritakan kisah-kisah nabi agar anak-anak dapat mengambil pengajaran daripada ujian yang dihadapi nabi dan para sahabat. Ibu baga juga boleh menghantar anak-anak ke kelas agama bagi meningkatkan pengetahuan agama anak-anak. Ilmu agama yang dipelajari perlulah diamalkan anak-anak. Ibu bapa seharusnya memastikan anak-anak mengamalkan apa yang dipelajari di sekolah. Agama seharusnya dijadikan asas kehidupan agar hidup diberkati tuhan dan dipermudahkan hidup untuk mencapai kejayaan.
Selain itu, ibu bapa juga perlu menyediakan jadual waktu seharian dan memastikan anak-anak mengikut jadual waktu yang disediakan. Jadual waktu itu perlulah dipenuhi dengan waktu membaca buku, membuat latih tubi, menyiapkan kerja sekolah dan aktiviti harian seperti bersukan, membersihkan rumah, berehat dan sebagainya. Ini mengajar anak-anak mengurus masa dengan baik kerana masa itu emas. Pengurusan masa yang berjaya melahirkan anak yang berdisiplin dan ini menjamin kecemerlangan dalam pelbagai aspek termasuk aspek akademik. Pengurusan masa dapat mencipta masa depan yang cerah kepada anak-anak. Wajarlah ibu bapa memastikan masa anak-anak tidak terbazir dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti  melayari internet dan bermain permainan video secara berlebihan. Ini juga mengelakkan anak-anak daripada hilang fokus dalam pembelajaran di sekolah dan mendesak penglibatan aktif anak-anak dalam  kokorikulum.
Seterusnya, ibu bapa perlulah menghantar anak-anak ke kelas tambahan bagi meningkatkan prestasi akademik anak-anak terutamanya dalam subjek yang lemah. Menghantar anak-anak ke kelas tambahan boleh meningkatkan kefahaman terhadap konsep-konsep yang dipelajari di sekolah, seterusnya meningkatkan pencapaian akademik anak-anak. Ibu bapa boleh menghantar anak-anak ke pusat tuisyen untuk menjalani kelas tambahan. Pihak sekolah juga ada menyediakan kelas tambahan terutamanya kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperisaan UPSR. Sekiranya tidak mampu, ibu bapa boleh menjadi guru dalam membimbing anak-anak mencapai kejayaan.  Kelas tambahan perlulah memfokuskan subjek anak-anak yang lemah seperti matematik,sains,sejarah dan sebagainya. Kegagalan ibu bapa dalam menyediakan kelas tambahan kepada anak-anak boleh menyebabkan anak-anak tidak memahami pembelajaran di sekolah.
Di samping itu, ibu bapa perlulah meluangkan masa bersama anak-anak bagi menyediakan suasana yang aman dan bebasdari segala perkara ganas dan aktiviti tidak bermoral. Anak-anak yang rapat dengan ibu bapa lebih jauh dari perkara-perkara tidak bermoral. Ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak. Ibu-bapa boleh beriadah bersama-sama, makan bersama, belajar bersama dan solat berjemaah bersama. Dengan mewujudkan persekitaran yang sihat, anak-anak akan lebih terjaga daripada sebarang pengaruh yang tidak elok dan aktiviti tidak bermoral yang boleh menghancurkan akhlak anak-anak. Hubungan sihat antara keluarga dapat menjamin perkembangan anak-anak secara sihat dan melahirkan anak-anak yang berakhlak tinggi yang dapat menjamin kecemerlangan anak-anak pada kemudian hari.
Akhir sekali, ibu bapa seharusnya memantau pergerakan anak-anak dan mengawal aktiviti anak-anak. Ibu bapa perlu mengambil tahu latar belakang rakan anak-anak seperti ahli keluarga, masalah disiplin, rakan-rakan, masalah yang dihadapi dan lain-lain. Ibu bapa juga perlu menghadkan aktiviti luar anak-anak agar tidak sampai tengah malam. Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak beriadah dan pulang sebelum senja. Ini dapat mengelakkan anak-anak terlibat dengan sebarang gejala sosial dan aktiviti tidak bermoral.
Sebagai menggulung segala yang dibicarakan, sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu bapa perlulah memberikan perhatian yang setimpal dan berprihatin terhadap pelajaran anak-anak. Ibu bapa wajar mengikuti perkembangan akademik anak-anak di sekolah dan bertanggungjawab menghulurkan bantuan pada bila-bila masa sahaja. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan kerja mereka sehingga mengabaikan pelajaran anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang serta sokongan moral agar terus mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Mereka patut menerapkan konsep kepentingan menuntut ilmu yang menjanjikan pekerjaan yang lebih baik dan menyediakan mereka kepada realiti dunia ini. Ibu bapa boleh membantu merancang aktiviti anak-anak dan memberi pendapat dan nasihat untuk mementingkan bidang akademik serta tidak membuang masa melakukan perkara yang tidak berfaedah sehingga menganggu prestasi anak-anak. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa tidak patut memberi tekanan yang berlebihan terhadap prestasi mereka dan membebankan jadual aktiviti harian dengan kelas tuisyen yang banyak. Hal ini disebabkan anak-anak juga memerlukan rehat dan tidur yang mencukupi untuk memulakan kerja pada kemudian hari. Mereka juga perlu ruang tersendiri untuk melakukan perkara yang disukai untuk melepaskan tekanan pelajaran. Maka, untuk menjamin masa depan anak-anak belasan tahun agar dapat meraih kejayaan dalam pelajaran, ternyatalah bahawa ibu bapa merupakan agen pertama dalam membantu anak-anak ke arah kejayaan.